1. Tema: Pendidikan
Soalan:
Guru adalah insan yang berperanan penting dalam usaha melahirkan modal insan yang berguna pada masa hadapan. Guru juga diumpamakan lilin yang sanggup membakar diri demi menerangi orang lain. Peranan guru juga amat penting dalam usaha memanusiakan manusia. Seharusnya jasa yang telah mereka curahkan tidak dilupakan. Segala pengorbanan mereka perlu dihargai dan dikenang sepanjang hayat. Pelbagai cara yang boleh dilakukan sebagai tanda kita menghargai jasa guru.
Bincangkan langkah-langkah yang boleh dilakukan bagi menghargai jasa guru-guru.
Rangka karangan
Pendahuluan
Isi:
1. Pelajar perlu menghormati guru
2. Mengadakan Sambutan Hari Guru
3. Menziarahi guru ketika mereka ditimpa musibah
4. Menganugerahkan mereka dengan kejayaan dalam pelajaran
5. Melaksanakan segala kerja yang disuruh oleh guru
Penutup
Contoh karangan:
Apakah yang dimaksudkan dengan guru? Menurut kamus dewan edisi ketiga, guru boleh didefinisikan sebagai orang yang mengajar, mendidik, pengajar atau pengasuh. Memang jasa guru tidak ternilai dan jasanya tidak boleh dibeli dan dibayar dengan wang ringgit. Guru adalah insan bertuah yang dicipta oleh tuhan. Guru umpama lilin membakar diri, menerangi dan mencahayai untuk keselesaan dan kesenangan hidup orang lain. Begitu besar pengorbanan seorang insan yang bergelar guru. Guru mendidik pelajar supaya menjadi seorang yang berguna kepada agama bangsa dan negara. Mereka umpama ibu bapa selepas kedua ibu bapa pelajar. Oleh itu, pelbagai cara boleh dilakukan untuk menghargai jasa guru.
Guru akan rasa dihargai apabila pelajar menghormati guru. Guru perlu dihormati kerana guru menyampaikan ilmu kepada kita. Mereka juga mendidik kita menjadi insan yang bertamadun, berilmu dan berguna untuk agama, bangsa dan negara. Contohnya, sebagai seorang pelajar, kita boleh mengucapkan selamat sejartera bagi orang bukan Islam dan ucapan salam jika yang beragama Islam apabila bersua muka dengan guru. Hal ini kerana sikap menghormati guru adalah amalan mulia dan sangat dituntut. Ilmu yang dicurahkan oleh guru amat penting bagi menjadikan seseorang itu insan berguna pada masa hadapan. Pelajar juga tidak harus sombong terhadap guru kerana tanpa ilmu yang dicurahkan tanpa mengenal erti jemu kepada kita, nescaya kita tidak akan cemerlang dan ilmu yang mereka berikan kepada kita tidak diberkati oleh tuhan. Ini kerana tanpa keberkatan, sudah pasti kita tidak akan mengecapi kejayaan walaupun pelbagai usaha telah kita lakukan. Jadi, guru mesti dihormati kerana jasa mereka tidak akan terhitung oleh kita.
Selain itu, pelajar juga boleh mengendalikan Sambutan Hari Guru. Bilakah tarikh Sambutan Hari Guru? Apabila tibanya tarikh keramat 16 Mei setiap tahun, pelajar bolehlah mengadakan Sambutan Hari guru bagi mengingati jasa-jasa guru dan penat lelah mereka yang mengajar kita tanpa mengenal erti jemu. Jika di rumah, ibu bapa adalah insan terdekat yang perlu disayangi, manakala di sekolah pula guru umpama ibu bapa kepada pelajar. Jadi, sebagai pelajar, kita boleh menunjukkan kasih sayang kepada mereka. Misalnya, kita membantu mereka membawa buku-buku ke bilik guru. Semasa hari guru pula, kita bolehlah memberikan hadiah kepada mereka sebagai tanda penghargaan di atas jasa mereka mendidik pelajar tanpa pernah berasa jemu untuk melahirkan insan yang berilmu. Paling tidak pun, kita juga boleh memberikan kad ucapan dan mendoakan kebahagiaan mereka di dunia dan di akhirat. Sebagai guru, mereka tidak pernah mengharapkan hadiah bertimbun setiap kali Sambutan Hari guru kerana harapan mereka hanya satu iaitu anak didik mereka menjadi insan yang berilmu, berguna dan berjaya dalam kehidupan. Jadi, mengadakan Sambutan Hari Guru adalah salah satu cara untuk menghargai jasa guru-guru kita.
Menziarahi guru ketika mereka ditimpa musibah juga merupakan salah satu cara untuk kita menunjukkan tanda kita menghargai jasa mereka. Contohnya kita menziarahi mereka ketika mereka sakit atau ditimpa kemalangan. Mereka akan rasa lebih dihargai apabila pelajar dapat meluangkan masa untuk menziarahi mereka ketika terlantar sakit. Mereka akan berasa disayangi dan sentiasa diingati sepanjang masa. Pelajar bolehlah menghargai guru dengan mengenang jasa guru. Bagaimana hendak mengenang jasa guru? Sebagai contoh, ketika mereka terlantar sakit, kita hendaklah menziarahinya. Dengan ini, guru akan berasa dan bangga terhadap pelajarnya. Sebagai seorang pelajar juga, kita haruslah mendoakan kesejahteraan guru-guru kita. Kita bolehlah mendoakan kebahagiaan kepada mereka. Kita juga sepatutnya sentiasa mendoakan mereka agar tuhan memberikan kesihatan yang baik kepada mereka. Jika kita berkesempatan, kita juga boleh meluangkan masa untuk menziarahi mereka ketika hari raya. Jadi, dengan menziarahi guru juga, kita dapat menunjukkan rasa sayang dan betapa kita menghargai jasa-jasa mereka selama ini.
Walau bagaimanapun, tugas guru tidaklah begitu mudah. Meskipun begitu, semangat mereka tidak pernah luntur bagi memenuhi tanggungjawab. Guru berperanan untuk meningkatkan usaha serta kreativiti supaya proses pembelajaran dapat dilaksanakan secara berkesan. Justeru, pengorbanan dan kesungguhan guru menghadapi cabaran perlu dibalas dengan kejayaan pelajar menterjemahkan ilmui yang disampaikan oleh guru dalam kehiduapan mereka. Oleh itu, bagi menghargai jasa guru, kita haruslah menguasai ilmu yang diberikan, sekaligus mencatatkan kejayaan yang cemerlang buat mereka. Kecemerlangan pelajarnya adalah hadiah yang paling berharga buat guru. Segala penat lelah mereka akan terbalas apabila melihat pelajar yang dibimbing dengan penuh kasih sayang mengecapi kejayaan yang cemerlang. Sebagai contoh, semua pelajar mendapat “A+” dalam mata pelajaran. Paling tidak, semua pelajar lulus dalam semua mata pelajaran. Ia sudah memadai dan memberikan kejayaan buat guru-guru, Jadi, mereka pasti merasakan bahawa pengajaran mereka selama ini tidaklah sia-sia dan membuang masa sahaja.
Jasa guru sebagai pendidik, mewarnai perjalanan ilmu setiap insan. Guru tidak pernah meminta wang ringgit dan harta sebagai balasan. Cukuplah pelajar menghargai jasa mereka dengan cara menyiapkan kerja sekolah yang diberikan. Kita mesti menghantar kerja yang diberinya mengikut masa yang ditetapkan. Seperti kata pepatah, “Masa Itu Emas”. Jika terdapat kesalahan dalam latihan, guru akan menegur dan pelajar akan membuat pembetulan. Dengan itu, pelajar dapat belajar daripada kesilapan. Hal ini kerana tanpa pengorbanan dan perjuangan seorang guru, tidak akan lahir seorang doktor. Tanpa titik peluh mereka, nescaya tidak akan ada peguam, bahkan tokoh ulung yang disegani dunia seperti Tun Dr. Mahathir Muhamad juga tidak dapat dilihat. Tanpa kebijaksanaan mereka pula, nescaya ulamak terbilang tidak dapat kita temui. Pelajar juga boleh menghargai jasa guru dengan cara berdisiplin semasa di sekolah. Secara tidak langsung, tindakan ini membolehkan mereka lebih tekun dalam pelajaran dan seterusnya berjaya dalam hidup. Dengan ini, jasa guru sememangnya perlu dibalas dengan tindakan yang positif daripada pelajar.
Akhirulkalam, “lilin membakar diri” amat sinonim dengan jasa guru.“Lilin yang membakar diri dan menerangi orang lain”. Lagipun, guru telah berjaya melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Siapalah kita jika tanpa guru yang pernah mendidik kita selama ini. Mereka haruslah dihormati kerana merekalah yang memberi kita pelajaran yang berguna dan membentuk jiwa pelajar agar bertamadun. Selain itu, mereka juga harus diberi penghargaan sebagai guru cemerlang agar mereka rasa lebih dihargai kerana pengorbanan mereka selama ini. Janganlah kita rugikan masa depan kita sendiri. Tepuk dada, tanyalah selera. Perjuangan guru umpama lilin, membakar diri demi menerangi masa depan anak didik mereka. Terima kasih cikgu.
2. Tema: Permainan Tradisional
Soalan:
Permainan tradisional semakin tenggelam ditelan arus zaman. Keadaan ini tidak seharusnya dibiarkan. Kedudukannya perlu dipertahankan bagi memastikan generasi akan datang dapat terus mewarisinya. Usaha-usaha yang lebih prakmatik perlu dilaksanakan.
Bincangkan usaha-usaha yang dapat dilaksanakan bagi memastikan permainan tradisional akan terus mendapat perhatian generasi hari ini dan generasi akan datang.
Rangka karangan:
Pendahuluan
Isi:
1. Peranan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan
2. Menjadikan permainan tradisional sebagai acara penyeri dalam sambutan-sambutan rasmi Negara.
3. Mendokumentasikan permainan tradisional
4. Mengadakan pameran permainan-permainan tradisional
5. Peranan sektor pelancongan
Kesimpulan
Contoh karangan:
Peribahasa ada menyatakan bahawa "Agama dijunjung, budaya dikendong“. Agama dan budaya sama penting sebagai cermin diri sesebuah bangsa. Tamadun dan peradaban sesebuah bangsa akan bertahan selagi kedua-duanya dipelihara. Budaya merangkumi adat resam, tatatertib, cara berpakaian, pemakanan, permainan dan hiburan. Setiap satu daripada komponen budaya tersebut mencerminkan kehalusan nilai seni dan cara hidup sesuatu bangsa. Demikian juga dengan rakyat Malaysia yang memiliki pelbagai ciri pemajmukan budaya hasil daripada interaksi masyarakat pelbagai kaum.
Sebagai sebuah bangsa yang memiliki pelbagai unsur tradisi, kita harus mempertahankan segala unsur warisan itu, khususnya permainan tradisional. Terlalu banyak permainan yang melambangkan ciri-ciri masyarakat majmuk seperti permainan wau, gasing, congkak, batu seremban dan sebagainya. Salah satu usaha awal untuk mempopularkan semula warisan tradisi bangsa ini ialah melalui peranan pihak Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan mencungkil khazanah tersebut semula. Pihak kementerian perlulah menyelidik dengan semua tokoh budaya yang mungkin sudah lanjut usia. Daripada golongan inilah segala rahsia permainan tradisional ini dapat dikorek semula. Kerajaan hendaklah bekerjasama dengan agensi-agensi pelancongan yang membolehkan mereka berkongsi maklumat berkenaan permainan tradisional dengan para pelancong luar atau dalam negara. Permainan tradisional akan dapat dihidupkan dengan adanya kerjasama daripada pihak kerajaan.
Dalam usaha mempopularkan semua permainan yang sebahagiannya sudah hampir dilupakan itu, permainan tersebut hendaklah dijadikan sebagai acara penyeri dalam sambutan-sambutan rasmi negara seperti Sambutan Hari Kebangsaan dan acara-acara pelancongan. Selain itu, permaianan tradisional boleh diperkenalkan dan dijadikan sebagai acara pembuka tirai dalam semua temasya sukan, sama ada sukan tempatan atau antarabangsa. Inisiatif ini harus ditunjangi oleh Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan.Usaha murni seperti ini bukan sahaja dapat menghidupkan permainan-permainan tersebut, malah dapat diperkenalkan ke peringkat antarabangsa.
Langkah mendokumentasikan semula permainan tradisional rakyat tempatan ini patut dijalankan oleh semua institusi pengajian tinggi tempatan. Kajian tersebut boleh dimasukkan dalam subjek sejarah atau pengajian Malaysia . Bukan itu sahaja, mereka juga boleh menunjukkan hasil kajian mereka dengan mempertontonkan permainan tradisional itu di muzium agar dapat dilihat oleh semua golongan masyarakat termasuk para pelancong asing. Semua pelajar dan mahasiswa diwajibkan mengambil subjek tersebut sebagai salah satu subjek wajib dan syarat pengijazahan. Langkah ini sebenarnya menjadi pengiktirafan tinggi terhadap budaya bangsa ,selain dapat mempopularkan dan mengekalkan budaya warisan yang amat tinggi nilainya.
Mempamerkan permainan-permainan tradisional ini juga mampu menarik minat orang ramai di samping dapat mempopularkan permainan ini. Sekali lagi, peranan pihak Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan amat diperlukan bagi menjayuakan pameran tersebut. Untuk menjayakan pamaeran ini, pihak kementerian haruslah mempamerkan permainan tradisional daripada pelbagai masyarakat serta kaum. Penerangan mengenai sejarah permainan dan cara permainan dimainkan hendaklah disertakan dengan permainan tradisional tersebut agar masyarakat dapat mengenali asal-usul permainan tradisional tersebut. Bukan itu sahaja, pihak yang menganjurkan pameran tersebut seharusnya memberi peluang kepada para pengunjung untuk merasai atau mempelajari permainan tradisional tersebut.
Usaha terakhir yang boleh dilakukan untuk mempopularkan lagi permainan-permainan ini ialah melalui industri pelancongan. Pihak yang terlibat dengan industri pelancongan perlu berusaha mengubah pandangan masyarakat umum tentang permainan tradisional. Langkah kerajaan bekerja lima hari seminggu membolehkan masyarakat awam melancong pada setiap hari Sabtu. Agensi-agensi pelancongan boleh mempopularkan permainan tradisional melalui aktiviti-aktiviti yang diaturkan. Pendekatan program pelancongan dapat dilakukan lebih bersepadu dan praktikal. Program paelancongan perlu lebih sistematik dengan mempopularkan beberapa permainan tradisional. Barangkali ada dalam kalangan pelancong asing ;yang tidak lagi berminat kepada bangunan-bangunan pencakar langit. Kepada golongan ini, barangkali permainan tradisional negara menjadi perhatian dan tumpuan.
Semua pihak di negara ini cukup yakin, permainan tradisional dapat dihidupkan semula dan sambutan daripada rakyat jelata pasti menggalakkan. Sebenarnya, tiada pihak yang sanggup membiarkan segala warisan tradisi bangsanya luput ditelan oleh arus pemodenan. Hal ini samalah seperti kata peribahasa “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.
3. Tema: Sukan
Soalan:
Majulah Sukan untuk Negara. Slogan ini sering dilaungkan dalam usaha membakar semangat ahli sukan negara untuk merangkul kejayaan dalam semua acara sukan yang disertai. Namun begitu, mutu sukan negara kita masih tidak dapat dibanggakan.
Bincangkan usaha-usaha yang boleh dilakukan dalam usaha meningkatkan mutu sukan di negara kita.
Rangka:
Pendahuluan
Isi:
1. Menubuhkan sekolah sukan
2. Peranan Kementerian Belia dan Sukan
3. Menggunakan khidmat jurulatih dari luar negara
4. Peranan kerajaan
5. Memperbaiki kelemahan pentadbiran badan-badan sukan
Penutup
Contoh karangan:
Isu-isu yang berkaitan dengan mutu sukan negara kerap dibincangkan dalam media massa. Sukan di negara ini kurang menyerlah pencapaiannya sama ada dalam bidang olahraga ataupun permainan padang seperti bola sepak, hoki, badminton dan sebagainya. Kejayaan yang diharapkan dalam pertandingan peringkat antarabangsa masih tidak kesampaian dan selalunya mengecewakan. Di dalam negara pula dapat dilihat kurangnya penonton yang hadir dalam satu-satu kejohanan yang diadakan kecuali jika pasukan kegemaran mereka beraksi. Terdapat beberapa langkah yang perlu dilakukan dalam usaha meningkatkan mutu sukan negara.
Usaha segera perlu dilakukan untuk meningkatkan mutu sukan negara. Penubuhan Sekolah Sukan di Bukit Jalil dan di Bandar Penawar, Johor merupakan langkah awal memilih bakat-bakat baru dalam pelbagai jenis sukan. Pelajar-pelajar yang didapati berbakat dikumpulkan dan mereka menerima latihan berpusat di bawah satu bumbung. Usaha ini amat baik kerana sekolah ini memiliki kemudahan sukan yang lengkap dan jurulatih yang berkemahiran. Di samping bakat-bakat mereka diasah dan diperkembangkan, bidang akademik mereka juga turut dipertingkatkan. Hal ini dapat menjamin masa depan para atlet.
Kementerian Belia dan Sukan juga boleh memainkan peranan dalam meningkatkan mutu sukan negara. Kementerian Belia dan Sukan mempunyai sumber kewangan bagi melaksanakan program kecemerlangan atlet. Langkah Kementerian Belia dan Sukan menghantar atlet-atlet yang berpotensi untuk menjalani latihan di luar negara adalah lebih baik. Pemergian mereka diharap dapat melahirkan semangat juang yang tinggi dan dapat meningkatkan pencapaian dalam bidang sukan yang diceburi agar setanding dengan kemampuan atlet luar negara. Sekaligus mereka dapat menghilangkan label ‘Jaguh kampung’ yang selama ini membayangi atlet.
Di samping itu, ada juga badan sukan tertentu menggunakan khidmat jurulatih dari luar negara untuk melatih atlet-atlet di bawah naungan mereka. Di bawah jurulatih asing ini, diharapkan atlet-atlet yang menimba ilmu dan mendalami teknik-teknik permainan untuk kemajuan diri dan sukan yang diceburi. Ia merupakan langkah untuk menjimatkan perbelanjaan menghantar atlet negara ke luar negara. Antara sukan yang pernah menggunakan khidmat jurulatih luar ialah sukan badminton, bola sepak, hoki dan beberapa permainan lain. Pada masa yang sama, atlet dan para pemain mesti rajin membuat latihan dan bersemangat tinggi untuk menang dalam suatu pertandingan.
Kerajaan juga bolah memainkan peranan dalam meningkatkan mutu sukan negara. Contohnya kerajaan telah membina kompleks sukan yang lengkap terletak di Bukit Jalil dan dikenali sebagai Stadium Nasional Bukit Jalil. Dengan terbinanya kompleks sukan ini, atlet dan para pemain dapat berlatih dengan lebih baik. Kerajaan turut menberikan inisiatif kepada atlet dan pemain yang menunjukkkan prestasi yang baik. Bagi memastikan kejayaan dalam sesuatu pertandingan kerajaan juga perlu memupuk semangat patriotisme yang tinggi dalam diri atlet.
Kemudahan latihan dan kehebatan stadium akan lebih berjaya menghasilkan atlet yang berwibawa jika disertai dengan pentadbiran dan pengurusan sukan yang baik. Sewajarnya dalam badan pengurusan sukan, tidak ada pihak yang akan mementingkan diri sendiri. Pegawai pentadbiran sukan haruslah terdiri daripada pegawai yang benar-benar berminat, berkemahiran serta berpengalaman dalam sukan tersebut. Jika ada masalah yang timbul, Kementerian Belia dan Sukan perlu membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sikap mendiskriminasi sesetengah atlet juga harus dikikis daripada jiwa jurulatih agar atlet ini berasa selesa ketika berlatih dan beraksi dalam setiap pertandingan.
Sebagai kesimpulan, usaha meningkatkan mutu sukan negara mesti dilaksanakan secara berterusan. Kebajikan atlet-atlet juga jarus dijaga dan diberi perhatian. Ganjaran perlu diberi kepada atlet yang berjaya mengharumkan nama negara bagi membakar semangat juang mereka. Dalam pada itu, semua pihak mesti memainkan peranan yang telah ditetapkan. Jika semua pihak dapat memainkan peranan yang sewajarnya, pasti mutu sukan akan terus meningkat.
No comments:
Post a Comment